Bayi jantung berlubang perlukan RM90,000

Bayi jantung berlubang perlukan RM90000

Nor Sara kini menerima rawatan di sebuah hospital di Perak.

SEBERANG PERAI – Seorang bayi perempuan berusia dua bulan yang menghidap jantung berlubang kini tidak mampu bernafas dengan sendiri dan hanya mengharapkan bantuan alat pernafasan.

Nor Sara Washfa Ahmad Zaidi yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu amat memerlukan bantuan orang ramai bagi menampung kos rawatan pembedahannya yang menelan belanja sebanyak RM90,000.

Bapanya, Ahmad Zaidi Awang, 50, hanya bekerja sebagai pesawah sejak 20 tahun lalu dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan.

Ibu Nor Sara, Masrini Mat Saad, 43, pula seorang suri rumah dan mereka turut memiliki dua lagi anak yang masing-masing berusia enam dan 11 tahun.

Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bayi itu disahkan menghidap patent ductus arteriosus (PDA), atrial septal defect (ASD) dan ventricular septal defect (VSD) susulan lubang berada hampir di bahagian te­ngah jantung.

Menurutnya, Nor Sara sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Perak dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

“Tiub terpaksa dipasang pada seluruh badannya sejak dilahirkan kerana dia tidak dapat bernafas sendiri dan keadaannya itu membuatkan ibu bapanya sedih serta buntu.

“Doktor yang merawatnya memaklumkan penyakit yang dihidapi itu menjejaskan fungsi jantung dan dia tidak dapat bernafas sendiri malah memerlukan pembedahan secepat mungkin.

“Sekiranya prosedur itu ditangguh, tidak mustahil boleh menyebabkan kegagalan jantung,” katanya ketika ditemui semalam.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare 3201428817 atau layari www.onehopecharity.org.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *