LIVERPOOL – Hasrat Chelsea untuk terus mencabar takhta kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) terbantut apabila pulang tangan kosong selepas tewas 1-2 kepada Liverpool di Anfield malam kelmarin.
Meskipun lebih banyak menguasai perlawanan, namun The Blues terpaksa akur gagal membawa pulang tiga mata apabila melepaskan dua gol hasil sepakan penalti Mohamed Salah dan gol Curtis Jones.
Sementara itu, gol Chelsea dijaringkan penyerang, Nicolas Jackson, namun ia belum cukup untuk memastikan mereka pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mengakui kecewa dengan keputusan itu, namun beliau memuji aksi ditampilkan barisan pemainnya kerana mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan tuan rumah.
“Seperti yang saya cakap, kami tidak suka kalah dan tercicir mata, namun ia tidak boleh dielakkan. Saya sudah datang ke sini (Anfield) banyak kali dan bukan mudah untuk menentang mereka.
“Secara keseluruhan, kami menguasai sebahagian besar perlawanan, tetapi tewas. Jadi, saya tidak gembira dengan keputusan. Bagaimanapun, pemain-pemain sudah menunjukkan aksi cukup baik dari segi penguasaan bola,”katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan, pasukannya ada banyak kerja perlu dilakukan bagi memperbaiki kerapuhan benteng pertahanan selepas dua yang dilepaskan berpunca daripada kesilapan sendiri.
“Sudah tentu kami akan memperbaiki banyak perkara termasuk pertahanan kerana kami antara pasukan yang bolos paling banyak. Saya percaya pertahanan kami akan lebih baik dari satu ke satu perlawanan,”ujar Maresca. – AGENSI