WOLVERHAMPTON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengesahkan pasukannya berdepan dua isu kecederaan pemain ketika meraih kemenangan kontroversi ke atas Wolverhampton Wanderers 2-1 di Stadium Molineux kelmarin.
City dikejutkan dengan gol pembukaan Jorgen Strand Larsen seawal minit kelapan sebelum Josko Gvardiola menyamakan kedudukan pada minit ke-33 dan gol kemenangan City hadir menerusi John Stones pada minit ke-95.
Situasi gol kemenangan hasil jaringan Stones itu mencetuskan kontroversi apabila pengadil, Chris Kavangh membatalkan jaringan tersebut, namun pengendali Video Bantuan Pengadil (VAR), Stuart Attwell memiliki pandangan sebaliknya menyebabkan gol itu disahkan.
Bernardo Silva dianggap berada dalam kedudukan ofsaid ketika Stone menanduk masuk gol tersebut, namun VAR mendapati pemain itu sempat bergerak ke posisi yang betul sebelum jaringan tersebut terhasil.
“Ketika itu penjaga garisan sudah mengangkat bendera. Ia sepakan penjuru, bagaimana boleh berlaku ofsaid. Situasi itu hanya melibat John dan bola, saya anggap jaringan tersebut adalah sah,” ujarnya.
Kemenangan tersebut cukup penting buat City apabila mereka berjaya melojak ke kedudukan kedua memintas Arsenal yang tewas mengejut kepada Bournemouth, namun kecederaan tersebut mengganggu kegembiraan mereka.
Perlawanan tersebut menyaksikan dua pemain tonggak, Kevin De Bruyne dan Kyle Walker tidak dapat diturunkan dan aksi berikutnya menentang Sparta Prague pada aksi Liga Juara-Juara mungkin juga tanpa kelibat kedua-dua mereka. – AGENSI