JURULATIH Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui kecewa melihat anak-anak buahnya ‘membuang’ dua mata penting selepas seri 1-1 bertemu skuad Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) di Stadium MP Selayang kelmarin.
Menurut Nidzam, kegagalan barisan pemain ‘membunuh’ perlawanan lebih awal dengan mensia-siakan banyak peluang terhidang menjadi salah satu faktor utama pasukan hanya mampu meraih satu mata di tempat lawan.
“Kita sepatutnya ‘bunuh’ perlawanan ini lebih awal kerana banyak peluang terhidang sepatutnya kita guna sebaik mungkin.
“Dalam bola sepak, kalau ada peluang, tapi tidak gunakan sebaik mungkin juga tidak berguna kerana sekelip mata keputusan boleh berubah.
“Semestinya kami tidak begitu gembira dengan pengakhiran ini, kami kurang fokus dalam tiga atau empat minit sebelum perlawanan berakhir.
“Namun, satu mata mungkin lebih baik, tetapi saya tetap tidak gembira apabila kita dibolosi saat akhir,”katanya selepas tamat perlawanan.
Pada aksi tersebut, skuad Gergasi Merah berjaya mendahului menerusi gol ledakan Alvin Fortes pada minit ke-16, tetapi jaringan penyamaan Aremu Timothy Oluwaseun pada masa kecederaan memastikan PDRM FC meraih satu mata berharga.
Keputusan tersebut memberikan ‘aura’ negatif buat skuad Selangor yang bakal mengharungi ujian getir apabila bakal melayan kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors pada Rabu pada aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) sebelum mengharungi perlawanan ‘panas’ bertemu pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium MB Petaling Jaya pada Sabtu ini.