CARDIFF – Seorang ibu di Britain menang pampasan lebih £28,000 (RM157,266) daripada tribunal pekerjaan selepas dibuang kerja kerana hamil, lapor portal berita Daily Record semalam.
Nikita Twitchen dijangka kembali bekerja selepas cuti bersalinnya berakhir, namun firma perkhidmatan pembinaan, First Grade Projects memecat Nikita kerana hamil sekali lagi.
Dia dipecat ketika kandungannya berusia lapan minggu.
Tribunal pekerjaan mendengar bahawa dalam satu pertemuan bersama pengarah urusan syarikat itu, Jeremy Morgan, beliau bersetuju supaya Nikita kembali bekerja.
Bagaimanapun, menjelang akhir pertemuan mereka, Nikita mendedahkan bahawa dia hamil lagi, manakala selepas itu, pihak majikan tidak menghubungi Nikita untuk mengesahkannya kembali bekerja.
Dia menjangkakan kembali bekerja pada 3 April lalu, namun Morgan kemudian menghubunginya dengan berkata, pihak syarikat mengalami masalah kewangan dan khidmat Nikita tidak lagi diperlukan.
Hakim Robin Havard dalam penghakimannya memutuskan bahawa Nikita dipecat secara tidak wajar dan dianugerahkan pampasan £28,706 (RM161,263). – AGENSI