Kredit: Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (SIDEC)
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Iteenews) — Persidangan Pendigitalan PKS TikTok Shop, usaha kerjasama antara Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital (SDEC) Selangor 2024 dan TikTok Shop menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem kukuh bagi menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Persidangan anjuran bersama Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan TikTok Shop yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, mengukuhkan lagi komitmen Selangor untuk memajukan ekonomi digitalnya melalui inisiatif strategik dan perkongsian.
Hadir sama ialah Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi, Pengarah Kanan Strategi Perdagangan Global TikTok Shop Steven Li dan Pengurus Besar PayMate Asia Pasifik Amirreza Sawal.
“Persidangan inimenonjolkan kisah kejayaan PKS terkemuka yang telah memanfaatkan TikTok Shop untuk memesatkan pertumbuhan perniagaan mereka.
“Antara penceramah yang ditampilkan adalah pempengaruh tempatan seperti Neelofa, Caryn Law dan Gary Ng, yang telah berjaya menggunakan TikTok Shop untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Menerusi perbincangan panel, pelancaran produk dan sesi interaktif, peserta diberikan pandangan yang jelas mengenai strategi pemasaran digital yang berkesan, pembinaan jenama dan sesi libat urus bersama-sama pengguna dalam pasaran yang berkembang pesat,” menurut Sidec dalam kenyataan.
Pengarah Perkongsian Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata kerjasama itu menekankan dedikasi kedua-dua pihak untuk memperkasa perniagaan kecil dengan meningkatkan kemahiran mereka menerusi strategi pertumbuhan inovatif bagi memanfaatkan lonjakan perniagaan pembeli-belah hibur dan perdagangan berasaskan kandungan di TikTok Shop.
“Kami berterima kasih dengan peluang ini dan berharap dapat meneruskan usaha kami dengan SIDEC untuk mengupayakan perniagaan tempatan secara digital, selepas melatih lebih 1,300 penjual di Selangor pada separuh pertama tahun ini,” katanya.
Inisiatif strategik seperti Selangor 1000 Digital dan Program Pemecut Selangor (SAP) terus memacu inovasi dan menggalakkan keusahawanan di rantau ini.