\’Terima kasih PM, tidak lupa guru Kafa\’

guru kafa

Guru Kafa akan menerima sumbangan khas sebanyak RM500 ketika Belanjawan 2025 diumumkan kelmarin. – Gambar fail

PONTIAN – Penerima sumbangan khas sebanyak RM500 seperti Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Imam Masjid dan Surau, Bilal, bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang bakal diterima nanti.

Guru Kafa, Azmi Fathul Ariffin, 54, berkata, pemberian sumbangan khas tersebut dapat meringankan beban kewangan mereka yang hanya memperolehi pendapatan RM1,512 sebulan.

Katanya, dengan kos sara hidup yang meningkat terutama bagi mereka yang berkeluarga, dapat membantu menyediakan keperluan bagi anak-anak untuk memasuki sesi persekolahan dan sebagainya.

Menurut Azmi, bagi daerah Pontian terdapat 165 guru Kafa yang bertugas di 53 buah Sekolah Agama (SA) yang sama-sama berperanan dalam memberikan pendidikan Islam yang sempurna kepada kanak-kanak.

“Terima kasih kami kepada kerajaan kerana tidak lupa kepada kebajikan guru-guru Kafa yang turut menerima sumbangan khas setiap tahun daripada kerajaan Pusat,” ujar Azmi yang bertugas di SA Tanjung Air Hitam.

Semalam ketika pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM500 kepada lebih 70,000 guru Kafa, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut di negara ini.

Seorang lagi Guru Kafa, Zubaidah Dali 56, berkata, pemberian sumbangan tersebut tentunya dapat meringankan beban kewangan guru-guru Kafa yang bergantung sepenuhnya dari gaji yang diterima itu.

“Alhamdulillah, kami guru-guru Kafa berterima kasih atas pemberian sumbangan khas ini yang tentunya akan digunakan bagi manafaat keluarga dan perbelanjaan harian,” ujarnya semalam.

Sementara itu Imam Mesjid Jamek Kampung Parit Kudus, Basiran Salipan, 77, berkata, sumbangan khas tersebut menunjukkan kerajaan mengambil berat mengenai mereka yang bertugas di Masjid dan Surau, imam, bilal, noja dan siak merupakan golongan yang bertanggunjawab bagi mengimarahkan rumah Allah dengan pelbagai aktiviti bagi meninggikan syiar Islam ditempat masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *